MODENASWORLD

Dunia Motosikal MODENAS

Post Top Ad

Kembara Ride Itik Super Santai 2.0

Wednesday, August 9, 2017

KRISS MR2: PUSING TANAH MALAYA #3

August 09, 2017 0
Sambungan catatan kembara siri #1 dan #2



Laluan Kembara KRISS MR2


Selamat Pagi KT

Perjalanan hari ke 3 bermula sekitar jam 7.30 pagi setelah selesai mendaftar keluar daripada hotel bajet, Hotel Mini Indah di Kuala Terengganu. Alhamdulillah, cuaca pada pagi ini cerah dan nyaman sekali. Sebelum mengisi perut, kami mengisi dahulu tangki petrol di stesen Petron yang berhampiran.


Roti canai yang ke 2 der..

Kami singgah bersarapan di Warung Rusila, sebuah kedai makan yang masih beroperasi sejak tahun 1999 (sewaktu pertama kali Admin berkunjung ke sini). Pelbagai menu di sediakan di sini termasuklah makanan "feveret" Admin iaitu Roti Canai. Roti canainya memang lembut, sedap dimakan dengan hidangan kuahnya yang tersendiri.

Koordinat untuk ke Warung Rusila: 5.239357, 103.189954

Selesai sarapan kami teruskan perjalanan menuju ke bandar Chukai.


Berehat sebentar di Rantau Abang


Menghirup udara segar di Pantai Kemasik


Bersama pemilik dan para staff kedai motor Sing Hwa

Di bandar Kemaman, kami sempat singgah di kedai wakil penjual sah MODENAS iaitu Sing Hwa Motor yang terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Serahan Cawangan Kemaman. Kami disambut mesra oleh semua staff kedai ini sambil berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai KRISS MR2 ini. Para staff disini berpeluang untuk mengenali KRISS MR2 ini secara lebih dekat lagi kerana ketika kembara ini berlangsung, mereka masih lagi menunggu stok daripada pihak EMOS Sdn. Bhd.


Jumpa "Abe & the gang"


Kembara di teruskan lagi menuju ke sebuah gerai makan ikan bakar di tepi sungai Kemaman bagi memenuhi undangan salah seorang krew Ride Itik yang kebetulan berada di Kemaman. Borak-borak sambil makan-makan di sulami dengan pelbagai cerita adalah adat biasa bila dapat berjumpa.


Satar yang dicari oleh Hafifi

Sebelum Kembara KRISS MR2 bergerak ke Kuantan, kami singgah sebentar di Warung Azizi yang terkenal dengan makanan Satar dan Otak-otak. Baunya....pehh sungguh menyelerakan!


Jumpa rakan otai kembara, Mr. Tyrell

Restoran Nasi Vanggey di Kuantan menjadi tempat pertemuan dengan salah seorang rakan kembara yang berpengalaman, Sambil mengisi perut, kami bertukar-tukar cerita mengenai perjalanan kembara, jentera dan rancangan kembara baik di dalam dan di luar negeri. Seronok bercerita sehingga kami terlajak masa. Jarum jam sudah pun menunjukkan hampir ke angka 4.00 petang sedangkan jarak perjalanan kami masih jauh lagi untuk menuju ke Johor Bahru kurang lebih 3++ km lagi.



Admin sibuk bergambar, Hafifi pula sibuk melayan staff DRB-Hicom University


Mercu tanda di bandar Diraja Pekan, Pahang.

Bersama geng Jiwa Basikal yang menuju ke Kuantan

Klik pautan: Jiwa Basikal


Di Dataran Kembara, Mersing - tiba waktu Maghrib. 13+ km ke JB

Alhamdulillah, Kembara KRISS MR2 tiba di Johor Bahru kira-kira jam 9.30 malam setelah melalui laluan yang gelap dan berselekoh daripada Mersing. Sesuatu yang menarik ketika kami melaui laluan ini adalah kerana sinar lampu utamanya yang begitu terang dan jelas, memudahkan kami melayani selekoh-selekoh yang dikelilingi oleh ladang-ladang sawit. Aktiviti terakhir krew Kembara KRISS MR2 setelah selesai menjamu selera, adalah berkunjung ke sebuah destinasi popular iaitu Pasar Karat Johor Bahru yang terletak berhampiran dengan lokasi penginapan. Seronok melihat pelbagai barangan dan karenah penjual dan pengunjung yang hadir di sini.


Pasar karat JB

Esok merupakan hari terakhir krew Kembara KRISS MR2 yang akan bergerak semula ke Shah Alam. Rehat dulu ye...zzzzz!

Ringkasan perjalanan hari ketiga:

Kuala Terengganu - Kuantan- Mersing - Johor Bahru = 568km bermula daripada bacaan meter 1,646km (bacaan di stesen PETRON ketika bermulanya kembara hari ketiga).

Read More

Tuesday, July 18, 2017

KRISS MR2: PUSING TANAH MALAYA #2

July 18, 2017 0
Sambungan daripada siri #1, catatan hari kedua Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya.

Laluan kembara KRISS MR2, hari kedua
Alhamdulillah, dengan izin Allah kami kini bersiap-siap untuk meneruskan kembara menuju ke pantai timur.

Ceria waktu pagi
Selesai memanaskan enjin KRISS MR2, kami bergerak menuju ke Kuala Perlis. Menyusuri jalan kampung yang menyajikan udara segar menjadikan pagi kami penuh dengan keceriaan.

Di jeti Kuala Perlis
Sampai di sekitar jeti Kuala Perlis kami berhenti seketika untuk menikmati pemandangan di sekitar jeti ini. Laut agak tenang namun tidak bagi perut kami yang sedang berkeroncong.

Sarapan pagi dengan capati
Langkah kanan pada pagi ini apabila menerima panggilan daripada rakan krew Ride Itik untuk bersarapan dengannya. Kami bergegas menuju ke sebuah warung capati yang agak terkenal di Kampung Panggau. Selesai bersarapan, kami bergerak melalui jalan utama Kangar - Alor Setar dan seterusnya menuju ke lebuhraya Alor Setar Selatan.

Batu sempadan negeri Perlis dan Kedah
Di susur masuk pusat servis dan kilang Modenas di Gurun
Kami menuju ke Pusat Servis MODENAS di Gurun untuk membuat pemeriksaan asas pada jentera KRISS MR2. Rantai perlu dilaraskan dan diminyakkan setelah menempuh perjalanan lebih 1,000 km kerana laluan perjalanan hari kedua ini merupakan laluan yang berbukit. Isian semula petrol dilakukan di stesen Caltex Padang Lembu. 3.7 liter diperlukan untuk memenuhkan tangki petrol setelah bergerak sejauh 172km daripada isian petrol kelmarin (stesen Shell di Jitra Kedah).

Kulihat hijau...
Setelah mengharungi laluan berbukit di Baling, iaitu kira-kira 120km daripada stesen Caltex Padang Lembu, kami berhenti semula di stesen Shell Grik untuk membuat isian petrol dan membasahkan tekak yang kering. Kembara diteruskan menuju ke hentian RNR Banjaran Titiwangsa untuk rehat tengahari.

Di jeti awam Tasik Banding
Layan selekoh-selekoh berbukit
Sedut udara nyaman sambil menikmati pemandangan indah
Laluan lebuhraya timur barat ini sememangnya dipenuhi dengan laluan mendaki dan menuruni bukit-bukau serta beberapa jenis selekoh yang mengujakan ketika menunggang. Kemampuan enjin KRISS MR2 teruji ketika mendaki manakala kestabilan ketika mengambil selekoh juga tidak mengecewakan kami. Perjalanan kali ini menempuhi beberapa kawasan hujan sebelum kami tiba di RNR Banjaran Titiwangsa. Ketika kami sampai, KRISS MR2 ini berjaya mencuri tumpuan orangramai yang turut singgah dan berehat di kawasan ini.

Replika kepala keretapi
Selesai sesi makan tengahari, kembara diteruskan menuju ke bandar kecil di Tanah Merah. Sempat juga kami singgah di kedai SHM Seng Huat, salah sebuah wakil pejual sah MODENAS di negeri Kelantan.

Di hadapan kedai SHM Seng Huat berhampiran stesen keretapi Tanah Merah
Kehadiran kami dialu-alukan oleh taukeh dan para staff kedai dan yang pastinya KRISS MR2 ini menjadi topik perbualan hangat disini. Kami membuat isian petrol di stesen Shell yang berdekatan dengan kedai ini. Jumlah isian untuk kali ini ialah sebanyak 3.7 liter untuk jarak perjalanan sejauh 170km daripada hentian terakhir di Grik. Kami agak teruja juga dengan kemampuan KRISS MR2 kerana kebiasaan bagi sesebuah kapcai yang bertangki kecil sudah pasti akan membuat isian semula di Jeli atau di Bukit Bunga.


Sampai di gerbang negeri Terengganu Darul Iman
Kembara diteruskan menuju ke negeri yang popular dengan pelbagai spisis penyu iaitu Terengganu Darul Iman. Keadaan cuaca bercampur-campur (cerah dan hujan) di sepanjang perjalanan menuju ke Kuala Terengganu, destinasi terakhir kembara untuk hari kedua.

Horey..horey...I Love KT
TTS
Aktiviti terakhir kembara hari kedua adalah meronda-ronda disekitar bandar Kuala Terengganu dan juga memenuhi undangan TTS bersama-sama rakan biker di sebuah medan selera. Terima kasih kepada semua rakan biker yang berada di Kuala Terengganu. Panjang umur kita berjumpa lagi.

Ringkasan perjalanan hari kedua:

Kangar - MODENAS Gurun - Tanah Merah - Kuala Terengganu = 592km bermula daripada bacaan meter 1,054km (bacaan di Homestay, Kangar ketika bermulanya kembara hari kedua).
Log kembara hari kedua
Bacaan odometer log hari kedua dikira daripada stesen petrol terakhir 1,013km,
Read More

Sunday, July 9, 2017

KRISS MR2: PUSING TANAH MALAYA #1

July 09, 2017 0
Kali ini Admin kongsikan pengalaman mengembara mengelilingi semenanjung Malaysia bersama jentera KRISS MR2 yang telahpun dilangsungkan pada bulan April yang lalu.

Siri #1 ini adalah info kembara pada hari pertama yang bermula di Pejabat MODENAS/EMOS di Glenmarie hinggalah ke negeri Perlis Indera Kayangan.

Laluan kembara

Flag-off di pusat servis MODENAS
Selesai sahaja urusan di Pejabat Jualan dan Pemasaran di komplek bangunan EON di Glenmarie, kami menuju ke pusat servis MODENAS yang terletak di Seksyen U5, Shah Alam untuk membuat pemeriksaan akhir dan tukaran minyak pelincir EMOS OIL. Majlis pelancaran kembara telah pun disempurnakan oleh En. Amiruddin Abdul Kadir (CEO) dan En. Aldrin Husni (Ketua Jabatan Pemasaran). Secara rasminya Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya telah pun bermula.

Rehat sebentar bersama Kit-Kat yeah!
Hujan renyai-renyai membasahi bumi ketika kami bergerak menuju ke lebuhraya Guthrie sehinggalah tiba di persimpangan lebuhraya Utara-Selatan. Sambil menyalin baju hujan kami mencongak-congak masa perjalanan menuju ke Gopeng dan hentian RNR untuk menambah petrol.

OTW ke RNR Tapah untuk rehat dan isian petrol
Kelajuan Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya ini adalah sekitar 90 ke 100 kmj mengikut bacaan jarum meter KRISS MR2. Isian petrol pertama dilakukan di stesen Shell RNR Tapah. Jarak perjalanan yang telah kami lalui sejak mengisi penuh tangki petrol pada hari sebelumnya dan bermulanya kembara ini adalah sekitar 178 km. Jumlah isian penuh petrol adalah sebanyak 3.7 liter sahaja (baki di dalam tangki petrol ialah 0.8 liter).

Rehat lagi
Kembara diteruskan menuju ke salah satu lokasi yang agak popular di negeri Perak Darul Ridzuan iaitu Kellie's Castle. Sempat juga untuk mengambil gambar kenangan dengan jentera KRISS MR2 di sini sambil-sambil berehat tengahari membasahkan tekak.

Dipersimpangan Changkat Jering
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Simpang Taiping untuk berjumpa dengan seorang rakan istimewa di Kedai Motor Eng Wan. Ada sedikit kejutan katanya.

Jeng..jeng..jeng
Nah...rupa-rupanya beliau membawa sebuah motosikal KRISS 110 yang telah diberikan nafas baru, set "body cover" dan juga topi keledar yang sedondon gitu. Agak teruja melihat rekabentuk grafik yang bertemakan motosikal lumba PROTON-KR-MODENAS yang pernah mewarnai kejohanan GP Dunia sekitar tahun 1997 hingga tahun 2002. Tinjauan kami juga mendapati beberapa stok KRISS MR2 telahpun berada di kedai motosikal Eng Wan ini. Isian penuh petrol dilakukan di stesen Petron, RNR Bukit Merah dengan jumlah isian sebanyak 3.1 liter dengan jarak perjalanan sejauh 160km.

Rehat lagi di KB Soon Huat Taman Merbau Indah
Perjalanan diteruskan menuju ke Kedai KB Soon Huat yang terletak di Taman Merbau Indah, Sungai Dua, Seberang Perai. Pulau Pinang setelah tokeh kedai dengan berbesar hatinya mengalu-alukan krew Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya ke premis perniagaan beliau. Sambil berehat dan menjamu selera, kami berkongsi pengalaman dan beberapa info mengenai jentera KRISS MR2 ini yang masih baru di lancarkan. Antara yang menarik setakat kembara ini ialah daripada aspek penggunaan minyak petrol yang agak mengkagumkan.

Menuju ke Bertam
Kami berbicang dan mengambil keputusan untuk menuju ke Bertam melalui jalan pintas (jalan lama) kerana hari telahpun hampir senja. Seronok juga melihat keindahan pemandangan di kiri dan kanan jalan ini yang di penuhi dengan sawah padi.

Berehat di Masjid Abdullah Fahim
Sewaktu kami berada di Masjid Abdullah Fahim, kami menerima pula undangan daripada krew-krew Ride Itik yang lain untuk sesi TTS di restoran Yasmeen Sungai Petani pada pukul 8.00 malam. Jadual kembara diubah semula sebelum menuju ke Perlis. Sesi TTS juga turut bertukar menjadi sesi tunggang uji tidak rasmi kepada para krew Ride Itik yang teruja untuk mencuba jentera terbaru KRISS MR2 ini.

Selamat Datang ke Perlis
Akhirnya sekitar jam 11.00 malam kami selamat sampai ke negeri Perlis Indera Kayangan, iaitu destinasi terakhir untuk kembara hari pertama. Kami keluar melalui susur lebuhraya Jitra untuk membuat isian petrol terakhir, Isian penuh pada kali ini ialah sebanyak 3.7 liter dengan jarak perjalanan sejauh 190km. Selesai makan malam, kami menuju ke homestay yang terletak berhampiran stadium negeri Perlis. Rehat dan tidur untuk perjalanan seterusnya esok hari.

Ringkasan perjalanan pada hari pertama;

Shah Alam - Kellie's Castle - Taiping - Sungai Dua - Bertam - Sungai Petani - Kangar
Log kembara hari pertama
Isian pra perjalanan dilakukan ketika bacaan odometer 485km, sehari sebelum bermulanya Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya.

Read More

Thursday, April 6, 2017

MODENAS KRISS MR2

April 06, 2017 7
Pada 6-April-2017, MODENAS melakarkan sejarahnya yang tersendiri apabila dengan secara rasminya telah melancarkan KRISS MR2 di Shah Alam, Pelancaran model KRISS MR2 baharu ini adalah untuk menggantikan model sedia ada iaitu KRISS MR1 yang begitu popular dikalangan rakyat Malaysia. Model KRISS MR2 ini adalah sebuah model yang serba baharu, menawarkan rekabentuk yang segar dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan berbanding KRISS MR1. Untuk pengetahuan, "MR" adalah singkatan kepada Motosikal Rakyat.


Menurut sumber, KRISS MR2 ini merupakan model "rebadge" daripada syarikat Zong Shen  yang berasal daripada negara tembok besar iaitu China. Rakan teknikal terbaru MODENAS ini merupakan antara pengeluar terbesar motosikal di China dan turut mempunyai rekod pembuatan yang boleh dibanggakan. Zong Shen sebenarnya pernah menghasilkan enjin untuk jenama PIAGGIO dan VESPA (Itali), tidak kurang juga untuk jenama-jenama lain seperti LEXMOTO (United.Kingdom), MOTORHISPANIA (Sepanyol), M1NSK (Russia dan Belarus), ZANELLA (Argentina), AKT (Colombia), RYUKA (Thailand) dan KASINSKI & HYOSUNG (Brazil). Pendek katalah, model-model Zong Shen ini sebenarnya telahpun dipasarkan di seluruh dunia.

Model asas KRISS MR2 ini sebenarnya di ambil daripada model ZS110-56. Projek KRISS MR2 ini sebenarnya telahpun bermula 2 tahun yang lalu. Menurut sumber, MODENAS telah pun melakukan sesi pra-ujian sekitar Januari 2015. Pelbagai ujian telahpun dijalankan oleh MODENAS bagi memastikan model ini mematuhi tahap kualiti yang telah ditetapkan (kebiasannya MODENAS akan membuat ujian jalanraya lebih 20,000 km dan lebih 300 jam ujian ketahanan enjin di atas "Dyno") . Di samping itu juga, MODENAS telahpun membuat penambahbaikkan terhadap beberapa item yang terdapat pada model asas ZS110-56 ini sebelum memberi isyarat lampu hijau untuk dipasarkan di Malaysia.

Jom kita intai-intai ciri-ciri yang hadir pada KRISS MR2 ini.

Enjin 

KRISS MR2 ditawarkan dengan kapasiti enjin 110cc berbanding dengan KRISS MR1 yang berkapasiti 100cc sahaja. Menariknya, enjin KRISS MR2 merupakan enjin generasi terbaharu yang mematuhi piawaian EURO 3, berbanding dengan KRISS MR1 yang hanya mematuhi piawaian EURO 2.

Enjin KRISS MR2 generasi baharu
Enjin ini dikhabarkan menawarkan teknologi yang segar dari ladang seperti "Roller Rocker Arm", "Lightweight Piston" dan lain-lain lagi (lihat foto di bawah, klik untuk sumber). Antara kelebihan enjin generasi terbaharu ini ialah ianya menawarkan penjimatan petrol yang efisien selain daripada operasi enjinnya yang lembut dan lancar.

Teknologi enjin ZS110-56
Seperkara yang menarik ialah enjin ini tidak mempunyai penapis minyak enjin seperti model-model KRISS 110, KRISTAR, KRISS 120, CT110, EFI 118, ACE 115 dan CT115S, sekaligus dapat menjimatkan sedikit kos penyelenggaraannya.

Kerangka


Lampu dan Isyarat Hadapan nampak jelas dan terang.
Lampu hadapan KRISS MR2 dinyalakan dengan suis manual, tidak seperti model KRISS MR1 yang menyala secara otomatik. Terdapat 2 mod operasi iaitu lampu posisi (kecil) dan lampu utama (lampu tinggi dan rendah). Untuk menunggang di siang hari, memadailah menggunakan lampu posisi (kecil).
Sebelum terlupa, Tuil Brek Hadapan (Front Brake Lever) perlu ditarik ketika ingin menghidupkan enjin (macam nak hidupkan enjin skuter). Ini merupakan satu ciri keselamatan tambahan yang terdapat pada KRISS MR2 ini.

Lampu dan Isyarat belakang
Lampu belakang adalah jenis berasingan (lampu brek dan isyarat). Lampu breknya semestinya jelas kelihatan ketika beroperasi. Lampu isyarat yang popular dengan panggilan "signal capang" mempunyai ciri boleh lentur bagi mengelakkan ianya mudah patah. Namun begitu ianya mempunyai had lentur yang dibenarkan, jika terlebih hadnya maka siapkanlah wang yang secukupnya untuk membeli yang baru.

Sistem Kunci Keselamatan
Sistem kunci keselamatan turut diperkenalkan pada model KRISS MR2 berbanding dengan KRISS MR1. Ianya mempunyai penutup keselamatan yang berfungsi untuk melindungi lubang kunci daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Mod operasi asas suis ini adalah mengunci handel, menghidupkan dan mematikan sistem (ON-OFF). Untuk membuka pelana, anda harus menggunakan suis kunci yang terdapat pada bahagian kiri motosikal (sama seperti KRISS MR1).

Ruang Utiliti dan Tangki Petrol
KRISS MR2 turut dilengkapi dengan ruang utiliti yang bersaiz sederhana. Saiz yang sederhana ini sudah pastilah tidak boleh memuatkan topi keledar bersaiz standard, namun ianya amat berguna untuk menyimpan barangan kecil dan berharga (contoh: Beg Tangan, baju hujan dan lain-lain ). Isian penuh tangki petrolnya pula adalah sekitar 4.5 liter, sedikit besar daripada isian penuh KRISS MR1.

Panel Meter yang praktikal
Panel meter KRISS MR2 sangat ringkas dan praktikal, turut mempunyai lampu penunjuk posisi gear. Meter ini dikhabarkan "berat" berbanding dengan KRISS MR1 yang mempunyai varian yang agak besar (jarum "ringan"). Tak sabar pulak rasanya Admin nak try test kelajuan sebenar KRISS MR2 nih....

Penyerap Hentak Belakang boleh laras
Penyerap hentak belakang (rear shock absorber), mempunyai 5 tahap pelarasan (lembut-keras) bagi membolehkan penunggang melaras tahap kekerasan spring mengikut kesesuaian menunggang.

Pelana yang lebar
Ini adalah antara item yang penting, duduk musti mau sedap! KRISS MR2 mempunyai pelana yang lebar, sudah pastilah ianya mengundang keselesaan ketika menunggang (ciri yang sama seperti KRISS MR1).

Spesifikasi Teknikal dan Pilihan Warna

Brosur MR2
Brosur MR2 - hadapan
KRISS MR2 ditawarkan dengan 3 pilihan warna-warna popular pilihan rakyat iaitu Kuning, Biru dan Merah. KRISS MR2 turut dilengkapi dengan sistem brek cakera hadapan untuk meningkatkan lagi aspek keselamatannya berbanding KRISS MR1 yang menggunakan brek gelendong (Drum).

Masih terlalu awal untuk memertabatkan KRISS MR2 ini sebagai sebuah kapcai "legend" seperti abang-abangnya yang terdahulu kerana ianya masih baru diperkenalkan kepada warga Malaysia ketika ini. Namun begitu, untuk sebuah kapcai asas, ianya agak berbaloi untuk dimiliki andai pemiliknya mampu merungkai ciri-ciri teknikal yang terdapat pada enjin KRISS MR2 ini. Pada kebiasaannya bagi sesebuah kapcai standard yang berkapasiti enjin 100-110cc, purata kelajuan tertinggi yang dapat dicapai adalah sekitar 90-100 km/jam mengikut bacaan sebenar (GPS).

Harga jualannya ialah RM 3,890.00 tanpa GST dan ditawarkan dengan tempoh waranti selama 2 tahun atau 20,000 kilometer penggunaan (yang mana terdahulu).  KRISS MR2 dengan gayanya yang tersendiri sudah pastilah menjadi pilihan yang ekonomi, selari dengan konsep pembuatannya sebagai sebuah Motosikal Rakyat.

Alah membeli menang memakai, tepuk dada tanyalah selera!

Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...