Ride Itik from Bedong, Kedah To Seam Reap, Kemboja Siri 1. - MODENASWORLD

Dunia Motosikal MODENAS

Post Top Ad

Kembara Ride Itik Super Santai 2.0

Monday, September 28, 2015

Ride Itik from Bedong, Kedah To Seam Reap, Kemboja Siri 1.

Sekadar berkongsi kembara solo ke Seam Reap pada 14-18 Mei 2015 lalu, di atas permintaan rakan-rakan maka saya mulakanlah alkisah Ride Itik merentas 2 buah negara  jiran iaitu Thailand dan Kemboja.

Jarak Perjalanan sehala kurang lebih 1,5++ km.
Ride Itik dimulakan dengan idea spontan untuk ke Seam Reap, Kemboja. Berbekalkan dengan modal ala kadar sebanyak RM 1,000.00 dan masa untuk bersantai hanya ada 5 hari, maka aku mencongak-congak kemampuan fizikal dan destinasi pilihan iaitu Seam Reap, Kemboja. Jarak perjalanan sehala sahaja kurang lebih 1,548 km yang perlu ditempuhi dengan itik kesayanganku X-Cite 130.

Kasi tip-top di ZaiBy Motor, Sg Lalang, Sg.Petani
Persediaan perjalanan kali ini dibuat di bengkel ZaiBy Motor yang terletak di Bandar Baru Sungai Lalang. Antara item yang diservis termasuklah penggantian pengedap minyak (oil seal) pada bahagian fork hadapan yang telahpun mengalami kebocoran kecil sewaktu aku ke Ranong pada bulan yang April lalu. RM 50.00 adalah harga yang dibayar, termasuklah tukaran minyak pelincir enjin. Bajetku untuk ke Seam Reap kini tinggal RM 950.00

Pra-Perjalanan: 13-Mei-2015

Kira-kira jam 8.30 malam perjalanan dimulakan dari rumahku di Bedong, Kedah. Perjalanan ini hanyalah bertujuan untuk merentasi sempadan Thailand melalui Bukit Kayu Hitam. Aku bermalam di Dannok sahaja kerana keadaan cuaca yang menunjukkan tanda-tanda hujan menghalang aku untuk bermalam di Hatyai. 


Hari 1: 14-Mei-2015, Dannok ke Hua Hin

Perjalanan hari pertama - 800km
Perjalananku bermula sekitar jam 6.00 pagi waktu Malaysia...boleh tahan jugak sejuk waktu pagi nih!(semalaman hujan disekitar Dannok - Hatyai).

Hentian pertama Stesen PTT Hatyai. Isi petrol dan perut!
Kira-kira pukul 6.45 pagi, aku selamat tiba di hentian pertama di stesen PTT Hatyai. Peluang ini digunakan untuk mencuci visor topi keledar yang penuh dengan pelbagai jenis serangga yang tumpang mengembara bersama-sama. Kurang lebih pukul 7.10 pagi aku meneruskan perjalanan menuju ke Surat Thani.

 

Kurang lebih pukul 11.40 pagi, aku tiba di stesen PTT Surat Thani. Kesempatan ini digunakan untuk mengalas perut yang dah pun berkeroncong. (cari yang ada tanda Halal sahaja di kedai 7E). Perjalanan diteruskan menuju ke Chumpon.

THB 10.00, eden torai joo...
Kira-kira 12.30 tengahari, aku tiba di sempadan daerah Chumpon. Terjumpa pulak minuman ala-ala isotonik ini,yang mempunyai logo Halal. Harap-harap boleh membantuku untuk menempuh perjalanan ke bandar utama Chumpon nanti. 
Itik takut hujan...rilek sat!
Dipertengahan jalan menuju ke Chumpon, bumi dibasahi dengan hujan dan petir yang berdentum dentam. Aku pilih jalan selamat untuk berteduh sementara menunggu hujan reda.
FOC untuk pelarasan dan melincirkan rantai - Chumpon
Perjalanan untuk ke Prachuap Khiri Khan masih berbaki kira-kira 180 km lagi. Pada waktu ini jam telah pun menunjukkan pukul 2.40 petang. Jika cuaca mengizinkan, aku mencongak-congak untuk sampai di Nakhon Phatom sekitar jam 8.00 malam nanti.

Tekezut melihat bot ditengah-tengah jalan. Apapun drebarnya selamat.
Sewaktu perjalanan bersambung, sekali lagi hujan turun membasahi bumi. Kelajuan motosikal diperlahankan sekitar 70-80kmh sahaja sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dari terjebak dengan kejadian yang tidak diingini. Lopak air dibahagian kiri dan kanan jalanraya mengigatkanku untuk lebih berhati-hati. Terserempak pula dengan kemalangan dipertengahan jalan namun syukur semuanya selamat. Sambil berteduh, aku melihat operasi menyelamat dilakukan. Sedang berteduh, titisan hujan pula menjadi lebat-selebatnya. Adehh...40 minit berlalu namun hujan yang turun belum menunjukkan tanda-tanda akan reda. Keputusan diambil untuk meneruskan perjalanan dengan meredah hujan..hahaha, sekali-sekala mandi hujan apa salahnya ye tak?

PTT Pranburi
Akhirnya kira-kira jam 6.30 petang aku sampai di Pranburi setelah meredah hujan hampir 150km. Basah dan sejuk hinggakan jari-jemari pun naik kecut. Sambil pekena secawan Nescafe panas dan bersalin pakaian, aku mencongak semula plan perjalanan untuk ke Nakhon Phatom yang berbaki sekitar 190 km lagi. Disebabkan keadaan yang basah tadi ada baiknya aku bermalam sahaja di Hua Hin untuk mengeringkan kasut dan jaket untuk perjalanan hari esok. Jarak ke Hua Hin hanyalah kira-kira sekitar 50km dari sini. Gaspol to Hua Hin!


Sekitar jam 7.45 malam, aku sampai di bandar Hua Hin. Aktiviti utama ialah mencari tempat tidur bajet kecil. Akhirnya hotel Damrong yang terletak berhampiran Chatsila Market menjadi pilihanku. THB 300.00 untuk bilik berkipas tapi tiada servis WiFi. Hantam ajerlah sebab rata-rata tempat penginapan disini kebanyakkannya bermula dengan harga sekitar THB 500.00. Asalkan tujuan utama tercapai iaitu untuk berehat dan mengeringkan pakaian, itu pun dah cukup bagiku. Aktiviti malam diteruskan dengan meronda disekitar Chatsila Market. Sorry aku tidak mengambil foto disini, telefonku sedang dicaj untuk perjalanan esok hari.

Hari ke-2: 15-Mei-2015, Hua Hin ke Seam Reap

Sarapan pagi di kedai 7E

Seawal jam 5.30 pagi dah pun terjaga daripada tidur. Aku menyemak semula plan perjalanan untuk ke Nakhon Phatom dan ke Aran. Perjalanan ke Nakhon bermula kira-kira jam 6.00 pagi

Jalan tidak berapa sibuk. Gaspol selagi boleh!
Kurang lebih jam 7.40 pagi, aku berada di lebuhraya No.4. Sambil-sambil kemaskini status kepada isteri dan sahabat, aku memeriksa semula laluan perjalanan agar tidak tersasar ke kota Bangkok - guna Google Map ajee sebab set "Garmin" takder...

Laras rantai dengan kasi minyak ye bang!
Sekitar jam 10.00 pagi, aku sampai di Rangsit setelah berjaya melalui trafik yang telah mula sibuk (waktu pejabat sudah...faham-faham ajelah).

Nakhon Pathom ke Rangsit dan terus ke Nakhon Nayok


 
Tiba di gerbang daerah Nakhon Nayok sekitar 11.50 pagi. Waktu ini jalan disini tidaklah sesibuk di Rangsit. Enjoy gaspol hahahaa...macamlah laju sangat itik aku nih (sekitar 85-95 kmh ajer, untuk fuel saving).

Laluan perjalanan kali ini dari Rangsit ke Aran

Untunglah ada "penjaga" di pos sempadan Thai.
Kurang lebih jam 3.10 petang, aku tiba di bandar Aran dan terus menuju ke pos sempadan. Urusan disini memakan masa yang agak panjang juga. Pi cari kedai fotostat untuk buat salinan dokumen-dokumen dan tukaran wang USD di Bazar Rongkleu sementara menunggu pos sempadan kurang sibuk. Urusan borang "Conveyance" inilah yang agak panjang (hampir 30 minit untuk selesai). Caj yang dikenakan kepadaku ialah sebanyak THB 65.00. Hantam ajerlah, asalkan selesai dan boleh cross border kira OK aje...bertuah badan jugaklah sebab pegawai yang bertugas yang isikan borang dan menyelesaikan proses dokumentasi dengan cemerlangnya. Aku tolong tunggu dan tengok ajelah....

Ni gerbang mana pulak ni?
Aku berurusan pula di pejabat imigresen Kemboja yang terletak di sebelah kanan jalan (kira-kira 200 meter dari gerbang tu). Urusan disini sekejap sangat, tidak sempat untuk beramah mesra dengan pegawai-pegawai imigresen ini. Semasa ingin bergerak keluar dari pejabat ini, aku disapa oleh seorang pegawai untuk ke pergi ke Pejabat Kastam yang terletak disebelah kiri jalan (kira-kira 200 meter jugaklah). OK kataku. Singgahlah di pejabat kastam berjumpa dengan seorang pegawai disitu. Aku serahkan semua dokumen yang ada tetapi.....katanya "Not Enough Document Sir!". Hadoii.....Bila ditanya senarai dokumen yang diperlukan, pegawai kastam tersebut tidak pula menyatakannya. Hurmm....nampaknya sama sahaja dengan episod otai-otai turing terdahulu. Kemudian dengan tidak semena-mena dia suruh aku pergi ke Phnom Penh ambil borang di Pejabat Kastam disana......Hahaha..teman dah agak dah! Ater teman maleh nak membuang mase, teman mengiyekan apa jua ayat-ayatnya. Well...Welcome To Cambodia!

Selesai urusan di pejabat kastam aku meronda disekitar Poi Pet yang agak sibuk ketika itu. Aku luangkan sedikit masa ditepi jalan untuk memahami cara pemanduan semua jenis kenderaan yang ada disini. Kelajuan, penggunaan hon, penggunaan lampu isyarat, cara keluar masuk simpang dan cara mereka melintas jalan. Apabila terasa selesa dengan cara mereka, maka aku pun menyambung perjalanan semula. Di dalam hati, aku hanya mampu berdoa agar perjalananku selamat sampai ke Seam Reap.

Dah nak malam...OTW Seam Reap (80 ke 90km sahaja lagi)
Perjalanan waktu malam memang mencabar. Aku hanya mengikut van pelancong sahaja untuk membantu menyuluh kegelapan malam. Habuk tebal dan terjun lubang adalah perkara yang pasti kerana tiada tempat untuk mengelak. Jalanraya ke Seam Reap masih lagi didalam pembinaan sejak tahun.....Ikuti siri ke 2 untuk foto-foto jalanraya yang sempat dirakamkan.

Masa untuk tidur...
Sekitar 8.25 malam, aku selamat tiba di Seam Reap. Tiba masa untuk berehat dan mengisi perut yang dah berkeroncong. Aku bermalam sahaja di sebuah Guesthouse yang berhampiran jalan utama dengan kadar USD15. Aktiviti malam pula sekadar meronda-ronda di kawasan "Psar Pleu" yang sememangnya menjadi tumpuan warga tempatan dan para pelancong di kawasan ini.

Video Night Market

Sambungan siri 2: Meronda di Angkor Wat & Itik yang pulang.

Pautan Panduan Am di Poi Pet (Cross Border): http://wikitravel.org/en/Poipet

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...