July 2017 - MODENASWORLD

Dunia Motosikal MODENAS

Post Top Ad

Kembara Ride Itik Super Santai 2.0

Tuesday, July 18, 2017

KRISS MR2: PUSING TANAH MALAYA #2

July 18, 2017 0
Sambungan daripada siri #1, catatan hari kedua Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya.

Laluan kembara KRISS MR2, hari kedua
Alhamdulillah, dengan izin Allah kami kini bersiap-siap untuk meneruskan kembara menuju ke pantai timur.

Ceria waktu pagi
Selesai memanaskan enjin KRISS MR2, kami bergerak menuju ke Kuala Perlis. Menyusuri jalan kampung yang menyajikan udara segar menjadikan pagi kami penuh dengan keceriaan.

Di jeti Kuala Perlis
Sampai di sekitar jeti Kuala Perlis kami berhenti seketika untuk menikmati pemandangan di sekitar jeti ini. Laut agak tenang namun tidak bagi perut kami yang sedang berkeroncong.

Sarapan pagi dengan capati
Langkah kanan pada pagi ini apabila menerima panggilan daripada rakan krew Ride Itik untuk bersarapan dengannya. Kami bergegas menuju ke sebuah warung capati yang agak terkenal di Kampung Panggau. Selesai bersarapan, kami bergerak melalui jalan utama Kangar - Alor Setar dan seterusnya menuju ke lebuhraya Alor Setar Selatan.

Batu sempadan negeri Perlis dan Kedah
Di susur masuk pusat servis dan kilang Modenas di Gurun
Kami menuju ke Pusat Servis MODENAS di Gurun untuk membuat pemeriksaan asas pada jentera KRISS MR2. Rantai perlu dilaraskan dan diminyakkan setelah menempuh perjalanan lebih 1,000 km kerana laluan perjalanan hari kedua ini merupakan laluan yang berbukit. Isian semula petrol dilakukan di stesen Caltex Padang Lembu. 3.7 liter diperlukan untuk memenuhkan tangki petrol setelah bergerak sejauh 172km daripada isian petrol kelmarin (stesen Shell di Jitra Kedah).

Kulihat hijau...
Setelah mengharungi laluan berbukit di Baling, iaitu kira-kira 120km daripada stesen Caltex Padang Lembu, kami berhenti semula di stesen Shell Grik untuk membuat isian petrol dan membasahkan tekak yang kering. Kembara diteruskan menuju ke hentian RNR Banjaran Titiwangsa untuk rehat tengahari.

Di jeti awam Tasik Banding
Layan selekoh-selekoh berbukit
Sedut udara nyaman sambil menikmati pemandangan indah
Laluan lebuhraya timur barat ini sememangnya dipenuhi dengan laluan mendaki dan menuruni bukit-bukau serta beberapa jenis selekoh yang mengujakan ketika menunggang. Kemampuan enjin KRISS MR2 teruji ketika mendaki manakala kestabilan ketika mengambil selekoh juga tidak mengecewakan kami. Perjalanan kali ini menempuhi beberapa kawasan hujan sebelum kami tiba di RNR Banjaran Titiwangsa. Ketika kami sampai, KRISS MR2 ini berjaya mencuri tumpuan orangramai yang turut singgah dan berehat di kawasan ini.

Replika kepala keretapi
Selesai sesi makan tengahari, kembara diteruskan menuju ke bandar kecil di Tanah Merah. Sempat juga kami singgah di kedai SHM Seng Huat, salah sebuah wakil pejual sah MODENAS di negeri Kelantan.

Di hadapan kedai SHM Seng Huat berhampiran stesen keretapi Tanah Merah
Kehadiran kami dialu-alukan oleh taukeh dan para staff kedai dan yang pastinya KRISS MR2 ini menjadi topik perbualan hangat disini. Kami membuat isian petrol di stesen Shell yang berdekatan dengan kedai ini. Jumlah isian untuk kali ini ialah sebanyak 3.7 liter untuk jarak perjalanan sejauh 170km daripada hentian terakhir di Grik. Kami agak teruja juga dengan kemampuan KRISS MR2 kerana kebiasaan bagi sesebuah kapcai yang bertangki kecil sudah pasti akan membuat isian semula di Jeli atau di Bukit Bunga.


Sampai di gerbang negeri Terengganu Darul Iman
Kembara diteruskan menuju ke negeri yang popular dengan pelbagai spisis penyu iaitu Terengganu Darul Iman. Keadaan cuaca bercampur-campur (cerah dan hujan) di sepanjang perjalanan menuju ke Kuala Terengganu, destinasi terakhir kembara untuk hari kedua.

Horey..horey...I Love KT
TTS
Aktiviti terakhir kembara hari kedua adalah meronda-ronda disekitar bandar Kuala Terengganu dan juga memenuhi undangan TTS bersama-sama rakan biker di sebuah medan selera. Terima kasih kepada semua rakan biker yang berada di Kuala Terengganu. Panjang umur kita berjumpa lagi.

Ringkasan perjalanan hari kedua:

Kangar - MODENAS Gurun - Tanah Merah - Kuala Terengganu = 592km bermula daripada bacaan meter 1,054km (bacaan di Homestay, Kangar ketika bermulanya kembara hari kedua).
Log kembara hari kedua
Bacaan odometer log hari kedua dikira daripada stesen petrol terakhir 1,013km,
Read More

Sunday, July 9, 2017

KRISS MR2: PUSING TANAH MALAYA #1

July 09, 2017 0
Kali ini Admin kongsikan pengalaman mengembara mengelilingi semenanjung Malaysia bersama jentera KRISS MR2 yang telahpun dilangsungkan pada bulan April yang lalu.

Siri #1 ini adalah info kembara pada hari pertama yang bermula di Pejabat MODENAS/EMOS di Glenmarie hinggalah ke negeri Perlis Indera Kayangan.

Laluan kembara

Flag-off di pusat servis MODENAS
Selesai sahaja urusan di Pejabat Jualan dan Pemasaran di komplek bangunan EON di Glenmarie, kami menuju ke pusat servis MODENAS yang terletak di Seksyen U5, Shah Alam untuk membuat pemeriksaan akhir dan tukaran minyak pelincir EMOS OIL. Majlis pelancaran kembara telah pun disempurnakan oleh En. Amiruddin Abdul Kadir (CEO) dan En. Aldrin Husni (Ketua Jabatan Pemasaran). Secara rasminya Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya telah pun bermula.

Rehat sebentar bersama Kit-Kat yeah!
Hujan renyai-renyai membasahi bumi ketika kami bergerak menuju ke lebuhraya Guthrie sehinggalah tiba di persimpangan lebuhraya Utara-Selatan. Sambil menyalin baju hujan kami mencongak-congak masa perjalanan menuju ke Gopeng dan hentian RNR untuk menambah petrol.

OTW ke RNR Tapah untuk rehat dan isian petrol
Kelajuan Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya ini adalah sekitar 90 ke 100 kmj mengikut bacaan jarum meter KRISS MR2. Isian petrol pertama dilakukan di stesen Shell RNR Tapah. Jarak perjalanan yang telah kami lalui sejak mengisi penuh tangki petrol pada hari sebelumnya dan bermulanya kembara ini adalah sekitar 178 km. Jumlah isian penuh petrol adalah sebanyak 3.7 liter sahaja (baki di dalam tangki petrol ialah 0.8 liter).

Rehat lagi
Kembara diteruskan menuju ke salah satu lokasi yang agak popular di negeri Perak Darul Ridzuan iaitu Kellie's Castle. Sempat juga untuk mengambil gambar kenangan dengan jentera KRISS MR2 di sini sambil-sambil berehat tengahari membasahkan tekak.

Dipersimpangan Changkat Jering
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Simpang Taiping untuk berjumpa dengan seorang rakan istimewa di Kedai Motor Eng Wan. Ada sedikit kejutan katanya.

Jeng..jeng..jeng
Nah...rupa-rupanya beliau membawa sebuah motosikal KRISS 110 yang telah diberikan nafas baru, set "body cover" dan juga topi keledar yang sedondon gitu. Agak teruja melihat rekabentuk grafik yang bertemakan motosikal lumba PROTON-KR-MODENAS yang pernah mewarnai kejohanan GP Dunia sekitar tahun 1997 hingga tahun 2002. Tinjauan kami juga mendapati beberapa stok KRISS MR2 telahpun berada di kedai motosikal Eng Wan ini. Isian penuh petrol dilakukan di stesen Petron, RNR Bukit Merah dengan jumlah isian sebanyak 3.1 liter dengan jarak perjalanan sejauh 160km.

Rehat lagi di KB Soon Huat Taman Merbau Indah
Perjalanan diteruskan menuju ke Kedai KB Soon Huat yang terletak di Taman Merbau Indah, Sungai Dua, Seberang Perai. Pulau Pinang setelah tokeh kedai dengan berbesar hatinya mengalu-alukan krew Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya ke premis perniagaan beliau. Sambil berehat dan menjamu selera, kami berkongsi pengalaman dan beberapa info mengenai jentera KRISS MR2 ini yang masih baru di lancarkan. Antara yang menarik setakat kembara ini ialah daripada aspek penggunaan minyak petrol yang agak mengkagumkan.

Menuju ke Bertam
Kami berbicang dan mengambil keputusan untuk menuju ke Bertam melalui jalan pintas (jalan lama) kerana hari telahpun hampir senja. Seronok juga melihat keindahan pemandangan di kiri dan kanan jalan ini yang di penuhi dengan sawah padi.

Berehat di Masjid Abdullah Fahim
Sewaktu kami berada di Masjid Abdullah Fahim, kami menerima pula undangan daripada krew-krew Ride Itik yang lain untuk sesi TTS di restoran Yasmeen Sungai Petani pada pukul 8.00 malam. Jadual kembara diubah semula sebelum menuju ke Perlis. Sesi TTS juga turut bertukar menjadi sesi tunggang uji tidak rasmi kepada para krew Ride Itik yang teruja untuk mencuba jentera terbaru KRISS MR2 ini.

Selamat Datang ke Perlis
Akhirnya sekitar jam 11.00 malam kami selamat sampai ke negeri Perlis Indera Kayangan, iaitu destinasi terakhir untuk kembara hari pertama. Kami keluar melalui susur lebuhraya Jitra untuk membuat isian petrol terakhir, Isian penuh pada kali ini ialah sebanyak 3.7 liter dengan jarak perjalanan sejauh 190km. Selesai makan malam, kami menuju ke homestay yang terletak berhampiran stadium negeri Perlis. Rehat dan tidur untuk perjalanan seterusnya esok hari.

Ringkasan perjalanan pada hari pertama;

Shah Alam - Kellie's Castle - Taiping - Sungai Dua - Bertam - Sungai Petani - Kangar
Log kembara hari pertama
Isian pra perjalanan dilakukan ketika bacaan odometer 485km, sehari sebelum bermulanya Kembara Ride Itik Pusing Tanah Malaya.

Read More
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...